[VIDEO] Kes buli budak sekolah rendah, suspek darjah 5 antara dipanggil polis di Kuala Krai


  • 112
  • Selasa, 19 Sep 2023

Tangkap layar video seorang budak sekolah rendah dibuli di Kuala Krai yang tular sejak Khamis lalu.

PIHAK polis menjalankan siasatan terhadap video yang tular baru-baru ini di media sosial membabitkan kejadian buli dipercayai berlaku di sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Krai, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, laporan mengenai kejadian diterima pihaknya daripada bapa mangsa buli itu pukul 10.55 pagi pada Isnin.

Jelasnya, hasil siasatan awal, ketika kejadian pukul 12.10 tengah hari pada 14 September (Khamis) lalu, mangsa sedang berada di luar bilik darjahnya sebelum dia didatangi dua murid lain yang kemudiannya dipercayai memukulnya.

“Hasil pemeriksaan pakar perubatan terhadap mangsa mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesan lebam pada badan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Suzaimi berkata, kedua-dua suspek itu adalah kanak-kanak berumur 11 tahun dan juga murid sekolah berkenaan.

“Kesemua murid terbabit dalam kejadian ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai untuk diambil keterangan bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan siasatan akan dilakukan merangkumi semua aspek.

“Dalam masa sama, kejadian ini juga sudah dimaklumkan kepada pihak sekolah dan tindakan sudah diambil,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan serta dibimbangi boleh mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat di media sosial melalui Facebook dan Twitter yang memaparkan dua orang murid lelaki membuli seorang murid lain di belakang bangunan sebuah sekolah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram