[VIDEO] Tragedi di kedai makan, budak 2 tahun maut digilis van Thailand di Terengganu


  • Tular
  • Khamis, 05 Okt 2023

Tangkap layar kejadian seorang kanak-kanak berusia dua tahun maut dipercayai selepas dilanggar kereta di kedai makan di Jerteh pada Rabu malam.

SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun maut dipercayai selepas dilanggar sebuah kereta di sebuah kedai makan dekat Jerteh, Terengganu pada Rabu malam.

Berita menyayat hati itu disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp pada Khamis.

Menerusi video berdurasi 17 saat yang dikongsikan itu, kelihatan pihak polis dan orang ramai mula mengerumuni sebuah rumah dipercayai milik keluarga mangsa.

Berdasarkan maklumat awal yang disalurkan oleh orang awam, kejadian pada Rabu malam itu berlaku ketika anak kecil tersebut bersama keluarganya mengunjungi sebuah kedai makan untuk menjamu selera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, budak perempuan berusia dua tahun tersebut maut selepas dilanggar sebuah van penumpang Jenis Toyota Hiace dari Thailand dalam kejadian di Jalan Kampung Apal.

Abdul Rozak berkata, mangsa Nur Aufa Insyirah Sulazmie, 2, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah van penumpang arah Yala, Thailand bersama sembilan orang penumpang dalam perjalanan menghala ke Kuantan, Pahang untuk ke tempat kerja.

"Apabila sampai ke lokasi kejadian pemandu van berkenaan terlanggar mangsa yang tiba-tiba melintas dari arah kiri ke tengah jalan.

"Akibat kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Rozak berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Besut untuk bedah siasat.

"Punca kematian disebabkan kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya dengan menambah bahawa saringan ujian air kencing pemandu warganegara Thailand berusia 37 tahun itu didapati negatif.

"Semua penumpang serta pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Kes disiasat di bawah Sekayen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram