[VIDEO] Budak cedera parah kena seret tayar teksi, bapa kecewa pelaku enggan bertanggungjawab


  • Benua
  • Ahad, 01 Okt 2023

Tangkap layar kejadian seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilanggar sebuah teksi.

KEJADIAN seorang kanak-kanak berusia empat tahun dilanggar sebuah teksi berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) yang membawa kepada tindakan undang-undang.

Selepas tular rakaman video langgar lari itu di media sosial, First Information Report (FIR) mengenai kesalahan pelaku terbabit terus dilaporkan di balai polis Thakurganj, Lucknow, India.

Menurut bapa mangsa, Noor Alam, anaknya bernama Alina, 4 tahun, pada ketika itu sedang bermain di luar kediamannya sebelum teksi itu melanggarnya.

Hasil siasatan balai polis Thakurganj mendapati kejadian berlaku pada Rabu lalu (27 September 2023), pukul 10.31 pagi di kawasan Adarsh Nagar.

Mengulas mengenai kejadian itu, jurucakap polis, Vikash Rai berkata, FIR telah dikemukakan terhadap pelaku yang tidak dikenali itu di bawah bahagian Kanun Keseksaan India, termasuk tuduhan kecuaian.

"Aduan itu difailkan oleh keluarga kanak-kanak itu yang masih berduka terhadap kehilangan anak mereka," katanya.

Ibu mangsa, Shabina berkata, anaknya itu terperangkap di bawah roda depan sebelah kanan kenderaan, yang kemudian diseret jauh tanpa disedari oleh pemandu teksi itu.

Insiden itu mengakibatkan anaknya mengalami beberapa kecederaan di kepala, dada dan kakinya dan dihantar ke hospital Balarampur.

Mangsa dilaporkan masih mendapatkan rawatan perubatan di hospital itu pada Sabtu.

Bapa mangsa yang bekerja sebagai pembawa beca berkata, mereka sudah menghubungi pelaku untuk meminta bantuan kewangan bagi menampung kos perubatan anaknya itu tetapi malangnya masih belum mendapat apa-apa tindakan daripadanya

"Kerana kekangan kewangan, kami pada mulanya memasukkan anak kami ke hospital swasta tetapi kemudian terpaksa memindahkannya ke hospital kerajaan.

"Malangnya, tiga hari selepas kejadian tragis itu, pemilik teksi berkenaan masih berdiam diri,” katanya.

Tertuduh yang dikenal pasti pihak berkuasa menerusi nombor pendaftaran kereta, berasal dari Kanpur, India dan kini menjadi buruan pihak polis. —Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram