[VIDEO] Gagal seberang jalan nak jumpa ayah, budak 4 tahun maut kena langgar lari trak pikap


  • Benua
  • Rabu, 06 Sep 2023

Tangkap layar kejadian seorang kanak-kanak lelaki dilanggar sebuah trak pikap di Nonthaburi, Thailand baru-baru ini.

LULUH hati si ayah melihat anaknya dilanggar sebuah trak pikap di Nonthaburi, Thailand baru-baru ini.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 8.50 malam Sabtu lalu, mangsa yang dikenali sebagai Khao Oat berusia empat tahun cedera parah pada waktu kejadian sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Khao Oat mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk retak tengkorak, patah tulang rusuk, patah tangan kiri dan kecederaan serius pada paru-parunya.

Memetik laporan media, Khao Oat difahamkan sedang bermain berhampiran sebuah asrama di sepanjang Jalan Klong Khun Si di daerah Sai Noi ketika kemalangan itu berlaku.

"Ayahnya berada di seberang jalan untuk memetik sayur di tepi sungai. Melihat bapanya, budak itu cuba melintas jalan sebelum dia dirempuh pikap yang dipandu laju.

"Bagaimanapun, pemandu kenderaan tersebut dilihat melarikan diri sejurus selepas kemalangan tersebut," kata saksi kejadian.

Susulan daripada kejadian tersebut, ibu bapa mangsa, Naphaporn Thienwan dan Boonchuay Leebamroon, telah membuat laporan polis untuk mendapat keadilan atas kematian anak lelaki mereka.

Sementara itu, menurut saksi kejadian, seorang pengawal keselamatan berusia 62 tahun yang tidak mahu namanya disiarkan turut menggambarkan kejadian ngeri tersebut.

Katanya, dia melihat Khao Oat bermain berhampiran trak pikap bapanya sebelum dia bertindak menyeberang ke seberang jalan.

Budak lelaki itu sempat berhenti seketika apabila melihat seorang penunggang motosikal lalu di jalan berkenaan.

Bagaimanapun, sebaik sahaja motosikal itu hilang, budak itu telah dilanggar oleh pikap dipandu laju yang kemudiannya melarikan diri.

Insiden itu menimbulkan simpati dan marah dalam kalangan masyarakat. Penduduk menggesa penguatkuasa menjalankan peraturan yang lebih ketat terhadap had laju terutama di kawasan perumahan bagi mengelak kejadian tragis seperti itu pada masa hadapan.

Sementara itu, usaha untuk memburu pemandu pikap tersebut sedang giat dijalankan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram