Remaja 17 tahun berdepan tuduhan membunuh lepas sengaja langgar penunggang basikal guna kereta curi


  • Benua
  • Sabtu, 16 Sep 2023

Rakaman yang menunjukkan suspek sengaja merempuh mangsa dalam kejadian pada 14 Ogos lalu.

SEORANG budak lelaki berusia 17 tahun berdepan tuduhan membunuh selepas dia didakwa sengaja merempuh seorang penunggang basikal dari belakang di barat laut lembah Las Vegas kira-kira dua minggu lalu.

Pada 14 Ogos sekitar jam 6 pagi, polis Metro menerima laporan tentang kes kemalangan langgar lari berhampiran Tenaya Way dan Centennial Parkway.

Semasa pegawai tiba, mereka mendapati penunggang basikal berusia 64 tahun itu mengalami kecederaan parah.

Penunggang basikal itu dibawa ke University Medical Center, Las Vegas, dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Menurut saksi, mangsa ketika itu sedang menunggang basikal ke arah utara Tenaya sebelum dirempuh dengan sengaja oleh sebuah kereta Hyundai yang dipandu melebihi had, dan kemudian kereta itu beredar dari tempat kejadian.

Selepas mengesan dan menahan pemandu Hyundai berusia 17 tahun itu, polis mendapati kenderaan yang digunakan itu dicuri dan dia telah melarikan diri dari satu lagi kemalangan langgar lari yang berlaku di lokasi berasingan.

Polis melaporkan bahawa pemandu itu turut terlibat dalam beberapa kes curi kenderaan lain pada hari yang sama.

Bagaimanapun identiti remaja tersebut tidak didedahkan kerana masih di bawah umur.

Pada 29 Ogos, detektif Jabatan Polis Metropolitan Las Vegas Police (LVMPD) menemui video media sosial mengenai kemalangan langgar lari itu dan mendapati bahawa perbuatan itu adalah disengajakan.

Siasatan telah diambil alih oleh detektif yang akan meminda pertuduhan bagi pelaku itu kepada pendakwaan atas kesalahan membunuh, kata polis.

Kematian penunggang basikal itu merupakan kematian ke-87 berkaitan trafik dalam bidang kuasa LVMPD untuk tahun 2023. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram