Salah guna wang PTPTN punca masalah sosial? Peminjam bijak pasti melabur dengan emas


  • Massa
  • Selasa, 27 Jun 2023

Wang PTPTN jika disalah guna boleh mendatangkan masalah sosial dalam kalangan mahasiswa di Malaysia.

PTPTN atau Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional ialah sebuah agensi Kementerian Pendidikan (KPM) yang menawarkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di institusi awam dan swasta.

Tetapi timbul persoalan sama ada wang PTPTN ini memberi kebaikan atau mendatangkan keburukan kepada mahasiswa/i yang memohon?

Sebenarnya ia bergantung kepada cara mahasiswa/i itu sendiri dengan melihat bagaimana mereka membelanjakan wang tersebut.

Tersilap langkah membawa padah

Mahasiswa/i yang tidak berfikir panjang akan menggunakan wang PTPTN untuk memperoleh keseronokan tanpa memikirkan kesan yag akan mendatang.

Mengapa pula dengan menggunakan wang PTPTN boleh mendatangkan masalah sosial dalam kalangan mahasiswa di Malaysia?

Perkara ini dikatakan demikian kerana, mahasiswa akan memperoleh wang yang banyak yang membolehkan mereka untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti pergi ke kelab malam dan melakukan perkara yang terlarang seperti menghisap dadah, seks bebas serta minum arak.

Mahasiswa/i juga boleh menggunakan wang tersebut untuk keluar makan, menonton wayang atau belanja pasangan masing-masing sehingga tercetusnya pergaulan bebas tanpa batas yang mendatangkan masalah sosial.

Perkara sebegini boleh mengundang gejala yang tidak bermoral yang boleh menjejaskan prestasi pelajaran dan mendatangkan kerugian pada masa akan datang.

Mahasiswa/i juga tidak akan dapat wang PTPTN jika memperoleh keputusan peperiksaan yang tidak melepasi tahap yang telah ditetapkan oleh pihak PTPTN.

Mereka perlu kekal fokus di dalam kelas tanpa terlibat dengan masalah sosial agar dapat mengekalkan prestasi yang baik dalam setiap peperiksaan hingga tamat pengajian.

Terdapat juga mahasiswa/i yang menyalahgunakan wang tersebut untuk mengubahsuai motorsikal mereka. Kebiasaannya perbuatan ini berlaku dalam kalangan mahasiswa lelaki.

Perbuatan sebegini juga boleh mendatangkan kesan yang buruk dalam komunti masyarakat Malaysia seperti semakin berleluasanya gejala merempit, lumba haram dan pengubahsuaian motosikal yang tidak mengikut standard yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

Tidak mustahil kadar kematian yang berpunca daripada kemalangan jalan raya akan meningkat dalam kalangan mahasiswa/i. Jika perkara sebegini terus berlaku dalam kalangan mahasiswa/i, tidak mustahil generasi yang baharu akan terpengaruh dengan generasi pada masa kini.

Perkara sebegini tidak patut dilakukan oleh mahasiswa/i kerana tujuan utama mereka masuk ke institusi pengajian adalah untuk menambah ilmu pengetahuan agar dapat memperoleh peluang pekerjaan bukan untuk meningkatkan gejala sosial dalam kalangan mereka.

Langkah efektif

Wang PTPTN yang sepatutnya digunakan untuk pelajaran dan segala kos makan dan minum mahasiswa di institusi pengajian perlu digunakan secara bijak dan baik.

Mahasiswa yang bijak dalam mengurus wang PTPTN akan menyimpan baki lebihan wang tersebut setelah melunaskan segala yuran untuk tujuan pelaburan. Hal ini demikian kerana, melalui pelaburan

mahasiswa/i mampu memperoleh manfaat setibanya masa untuk membayar balik pinjaman PTPTN.

Antara cara yang boleh digunakan adalah dengan membeli emas.

Terdapat peminjam PTPTN yang berjaya melangsaikan hutang mereka setelah sahaja tamat belajar tanpa dikenakan bunga, dengan cara menyimpan emas secara konsisten.

Antara cara yang dilakukan oleh mereka untuk kekal konsisten adalah dengan meletakkan sasaran emas yang perlu dikumpul dalam sesuatu tempoh.

Contohnya, mereka boleh menyimpan 2gram setiap bulan dengan konsisten dan akan mempunyai hampir 72gram jika melanjutkan pelajaran selama tiga tahun. Emas yang telah dikumpul selama tiga tahun ini boleh dijual kelak dengan nilai yang lebih tinggi.

Oleh hal yang demikian, wang kita akan terjamin dan tidak mudah bocor kerana emas akan mendisiplinkan diri kita untuk terus menyimpan serta duit kita akan menjadi berlipat kali ganda dalam jangka masa yang panjang.

Kesimpulannya, perlu adanya kesedaran dan nilai moral dalam kalangan mahasiswa/i untuk tidak terjebak dalam masalah sosial yang berpunca daripada pinjaman PTPTN yang mana pada akhirnya akan membinasakan diri sendiri. — Majoriti

Nurul Sharmila merupakan pelajar Tahun 1 kursus Antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram