Belasah rider bunyikan hon di Klang, 3 suspek rupanya 'longkai', positif syabu


  • 112
  • Selasa, 03 Okt 2023

Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan kejadian seorang lelaki memukul seorang penunggang p-hailing pada Ahad.

SEORANG lelaki yang bertindak di luar kawalan bersama dua lagi rakannya berjaya diberkas selepas tular video memaparkan aksi pukul-memukul terhadap seorang penunggang p-hailing di Jalan Langat-Klang, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tiga lelaki warga tempatan berumur 28 hingga 39 tahun yang merupakan pekerja trak penunda itu ditahan sekitar daerah Klang kira-kira pukul 6.30 petang pada Isnin.

"Saringan air kencing yang dijalankan mendapati suspek utama terbabit positif dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, semdua akan dijalankan turut mendapati ketiga-tiga suspek mempunyai rekod berkaitan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat lain berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

"Kertas siasatan akan dilengkapkan dalam masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat bawah Seksyen 323/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Pada Ahad, seorang penunggang p-hailing dibelasah selepas didakwa membunyikan hon terhadap sebuah kereta yang dinaiki sekumpulan lelaki di persimpangan lampu trafik di Jalan Langat-Klang menghala ke Klang.

Rakaman video tersebut juga memaparkan suspek sedang mencekik penunggang terbabit sambil cuba ditenangkan oleh orang ramai di lokasi kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram