[VIDEO] Lelaki selamba hisap rokok lepas hempas batu atas kepala kucing


  • 112
  • Ahad, 01 Okt 2023

Tangkap layar CCTV memaparkan keadaan seekor kucing yang menggelupur menahan sakit selepas dihempas batu di Alor Setar.

SEORANG individu dipercayai menghempas sebuah batu ke atas kepala seekor kucing sehingga mati di depan sebuah kedai serbaneka di Taman Rakyat, di Alor Setar, Kedah pada Khamis.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berhubung perbuatan kejam lelaki tersebut kira-kira pukul 10.56 pagi pada Jumaat.

Syed Basri berkata, kejadian tersebut turut berjaya dirakam oleh kamera tertutup (CCTV) premis berhampiran dan dikongsikan oleh pengguna Twitter (X) pada Sabtu.

Menerusi rakaman tersebut, lelaki itu dilihat sengaja menghempas batu ke atas kepala kucing tersebut sambil menghisap rokok sebelum berlalu pergi tanpa mempedulikan haiwan berkenaan yang menggelupur menahan kesakitan.

“Individu yang membuat laporan polis itu mendakwa dia melihat seekor kucing liar menggelupur dengan mulut berlumuran darah dipercayai dianiaya oleh individu tidak dikenali.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau menambah, kes masih dalam siasatan dan pihaknya masih berusaha mengesan suspek setakat ini.

Sementara itu, Syed Basri berkata, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video yang tersebar itu.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan berhati-hati dalam menggunakan media sosial agar tidak mendatangkan kegusaran kepada orang ramai.

“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat, Inspektor Mohd. Khairolamin Khalid di talian 019-2585884,” tambahnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram