[VIDEO] Dua geng 'towing' dicekup atas kesalahan rusuhan bersenjata di Kampung Malaysia Tambahan


  • 112
  • Isnin, 02 Okt 2023

Tangkap layar mengenai rusuhan bersenjata dua pihak yang berlaku di Kampung Malaysia Tambahan.

SERAMAI lapan lelaki ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam rusuhan bersenjata berhubung penundaan sebuah kereta kemalangan di Kampung Malaysia Tambahan, Sungai Besi, Kuala Lumpur pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya menerima makluman kejadian daripada orang awam sekitar pukul 1.37 pagi.

Menurutnya, kejadian berpunca daripada kes kemalangan sebuah kereta dan pergaduhan antara dua pihak untuk menunda (towing) kenderaan terbabit.

“Bertindak atas maklumat, polis membuat tangkapan ke atas lapan lelaki warga tempatan berusia 22 hingga 44 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan tersebut.

“Bagaimanapun, usaha lanjut masih diteruskan dan polis kini sedang mengesan suspek yang masih bebas,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zam Halim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” katanya.

Terdahulu, beberapa klip video tular di media sosial memaparkan satu kejadian rusuhan yang berlaku di tepi sebuah lebuh raya.

Berdasarkan klip video itu, segelintir individu turut dilihat menyerang beberapa kenderaan dengan menggunakan topi keledar dan batu sebelum meninggalkan lokasi selepas kehadiran pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram