Tak pasal-pasal, wanita Malaysia terpilih jadi wakil bumi berhubung dengan makhluk asing


  • Massa
  • Rabu, 27 Sep 2023

Mazlan Othman dilantik sebagai individu pertama yang akan berhubung dan berkomunikasi dengan makhluk asing. — Agensi

LEBIH 13 tahun lepas, Malaysia hampir mencipta nama di mata dunia apabila pakar astrofizik wanita negara, Datuk Dr. Mazlan Othman 'dilantik' sebagai wakil bumi pertama yang akan berkomunikasi dengan makhluk asing jika kehadiran entiti berkenaan berjaya disahkan secara saintifik.

Dr Mazlan yang ketika itu merupakan Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa) kononnya dipilih berdasarkan kedudukannya sebagai Pengarah di Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOOSA) di Vienna, Austria.

Menurut laporan The Star pada 27 September 2010 yang memetik laporan media antarabangsa menyebut bahawa Mazlan merasakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu membuat penyelarasan termasuk menentukan individu yang akan mengetuai 'komunikasi pertama' bagi pihak manusia.

Sebelum ini, terdapat beberapa lagi individu lain yang tersenarai untuk diberikan tugasan itu antaranya Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama; pemimpin Rusia dan Kesatuan Eropah serta ketua gereja Roman Katolik, Pope Benedict.

Namun laporan tersebut ternyata tidak benar apabila Mazlan Othman tampil menafikan perkara tersebut.

"Ia kedengaran menarik, tetapi saya harus nafikannya," katanya melalui pesanan e-mel, membalas pertanyaan sebuah portal media antarabangsa.

PBB dalam kenyataannya juga turut menolak dakwaan tersebut dan menjelaskan, "cadangan itu tidak pernah wujud sama sekali," lapornya kepada BBC.

Berbalik kepada laporan palsu tersebut, UNOOSA di bawah kepimpinan Mazlan kononnya akan mengambil pendekatan lebih terbuka berhubung komunikasi dengan makhluk asing berbanding ketika awal penubuhannya pada 1960-an.

Ketika awal penubuhannya, UNOOSA hanya mengikut garis panduan Perjanjian Luar Angkasa PBB 1967 yang menggesa agar semua komunikasi dengan makhluk asing dihadkan bagi mengelak berlakunya jangkitan penyakit.

Mazlan yang berkhidmat sebagai Pengarah UNOOSA sejak 2007 itu telah menggubal dasar dan tindakan yang perlu dilakukan PBB jika tahi bintang dikesan berlanggar dengan bumi.

Untuk rekod, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu mendirikan rumah tangga dengan Prof. Dr. Ibrahim Kommo dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Adi Johan Salehuddin dan Elida Izani.

Pendidikan awal beliau bermula di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan sebelum melanjutkan pelajaran ke University of Otago, New Zealand dalam bidang astrofizik.

Beliau mula berkhidmat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai tutor pada 1975 dan dinaikkan pangkat sebagai pensyarah selepas menerima Ijazah Kedoktoran dalam bidang astrofizik dari University of Otago, New Zealand pada 1981.

Mazlan merupakan wanita Malaysia pertama yang membuat pengkhususan dalam bidang astrofizik dan pernah ditugaskan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi mengetuai Bahagian Planetarium pada 1990 yang bertanggungjawab mengembangkan isu strategi angkasa negara.

Seterusnya, beliau bertugas sebagai Ketua Pengarah di Bahagian Kajian Sains Angkasa, Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar dari 1992 hingga 1999.

Sepanjang berkhidmat di situ, Mazlan dipertanggungjawab menerajui program mikrosatelit iaitu Tiung-SAT 1 dan RazakSAT serta program angkasawan pertama negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram