[VIDEO] Macam 'royal rumble', kumpulan lelaki dipercayai samseng mengganas di pangsapuri Klang


  • Tular
  • Rabu, 27 Sep 2023

Tangkap layar insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki di sebuah pangsapuri dekat Klang, Selangor.

SEKUMPULAN lelaki dipercayai kumpulan samseng dirakam saling bergaduh dan mengganas di sebuah pangsapuri dekat Klang, Selangor pada Isnin.

Seorang daripadanya dilihat menggunakan sebatang besi sebagai senjata dan memukul seorang lelaki tidak berbaju di lokasi kejadian.

Kekecohan itu bertukar serius sebaik lelaki terbabit cuba melarikan diri sebelum dia dikejar dan dihentam berkali-kali oleh dua individu bersenjata.

Dirakamkan oleh seorang penghuni di kediaman tersebut, rakaman berdurasi 51 saat itu kini tular di laman media dan mengundang keresahan dalam kalangan penduduk tentang tahap keselamatan di kawasan itu.

Pergaduhan itu akhirnya terlerai sebaik mereka dikerumuni orang ramai yang menyedari insiden tersebut.

Di ruangan komen, rata-ratanya menganggap bahawa ia berpunca akibat salah faham antara kumpulan gangster di sekitar Klang.

"Ini mesti kes samseng, tengok gaya macam bukan penduduk sini, gaduh sebab apa pun tak tahu yang pasti mereka memang samseng," kata Irsyad Ramli.

"Yang tukang rakam pun buat tak tahu je, kalau dah ada bukti sebaiknya pergi buat laporan, bukannya tengok dan biarkan sahaja," ujar Umar Mokhtar.

"Kalau di Klang memang banyak samseng, tapi tak ada yang tertangkap, semuanya terlepas macam tak ada apa berlaku sebab semuanya takut nak buat laporan," jelas Nurul Maisarah.

"Kena tahan semua yang terlibat, ganas betul dia bantai pakai besi macam itu, ini dah dikira kes jenayah," tambah Saiful5500.

Belum ada sebarang tangkapan dan kenyataan polis berhubung kejadian itu setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram