SEORANG lelaki berusia 33 tahun berdepan detik malang apabila dia diserang dan dirompak dua lelaki di Chicago, Amerika Syarikat pada Isnin.
Kejadian yang difahamkan berlaku pada pukul 2.55 petang itu terjadi sebaik mangsa sedang berjalan kaki di sebuah lorong sebelum diterjah dua individu terbabit dari arah belakang.
Ditumbuk dan dipukul bertubi-tubi, mangsa kemudiannya terjatuh dan kecundang akibat keganasan tersebut sebelum begnya dilarikan si pelaku.
Sebuah kereta yang kebetulan lalu di lokasi kejadian membunyikan hon untuk mengalihkan perhatian perompak berkenaan, menyebabkan kedua-dua suspek terus beredar dari lokasi terbabit.
Polis Chicago yang dikerah ke lokasi kejadian kemudiannya membawa mangsa ke hospital dan lelaki berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan.
Bagaimanapun jumlah kerugian mangsa akibat kejadian itu tidak dapat dipastikan dan kedua-dua suspek masih lagi diburu.
Rakaman tular tersebut hangat diperkatakan di laman media dengan rata-ratanya menyalahkan pihak kerajaan kerana gagal mencegah kes jenayah di Chicago.
Berdasarkan data dan statistik laporan jenayah diterima, berlaku peningkatan sebanyak 29 peratus melibatkan kes pembunuhan, serangan seksual, rompakan dan kecurian di bandar itu berbanding tahun lalu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram