SEORANG wanita gagal mengawal kemarahannya selepas premis niaganya disita oleh pihak penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Kota Bayuemas, Klang, Selangor pada Isnin.
Dalam satu rakaman tular dimuat naik di laman media, memaparkan tindakan individu terbabit yang mempertikaikan serta memperlekeh tugas anggota berkenaan.
Mendakwa tiada sifat toleransi dan bertolak ansur ditunjukkan kepada penduduk tempatan, wanita tersebut dipercayai sengaja mencetuskan kekecohan dan mengecam pihak berkenaan.
Meskipun beberapa kali diarahkan untuk menghentikan rakaman, dia masih berkeras dan menganggap ia sebagai hak peribadinya untuk melakukan perbuatan tersebut.
Difahamkan wanita terbabit menjalankan perniagaan di sebuah jalan raya berhampiran kawasan parkir bersama beberapa lagi peniaga lain.
Tiada lesen sah dan kebenaran menjalankan jualan di situ dipercayai punca premisnya diserbu dan disita oleh pihak penguat kuasa terbabit.
Namun, rata-rata komen warganet di menggesa agar pihak MPK turut tampil menjalankan operasi di premis warga asing sekitar Klang.
"Tak nafikan memang salah kakak tu sebab berniaga di kawasan parkir, tapi perlu ingat bahawa ramai lagi yang menyalahi undang-undang terutamanya golongan asing," kata Ikmal Zikri.
"Cuba turun pekan Meru tengok berapa ramai warga asing jual tepi jalan, kenapa mereka terlepas sepatutnya itu lebih diutamakan untuk ditahan," ujar Farah Izaty.
"Aku cuba untuk bersikap adil, tapi tak boleh tengok rakyat kita susah, dia berniaga sebab desakan kos sara hidup, sepatutnya diberikan amaran terlebih dahulu sebelum disita, pendatang asing lagi banyak yang berniaga secara haram di Klang," jelas Farhan Aqil.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya menerima banyak aduan ketidakselesaan orang awam yang melalui jalan berkenaan.
"Berikutan aduan yang diterima, pihak pasukan telah membuat pemeriksaan di tapak dan hasil pemeriksaan pada 17 September, didapati aduan adalah benar dan tindakan mengeluarkan Notis Memberhentikan Aktiviti Penjaja di bawah Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja (MPK) 2007 telah dikeluarkan kepada sembilan orang penjaja yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah dari Majlis.
"Tindakan seterusnya dibuat pada 24 September dan mendapati tiga penjaja sedang menjalankan perniagaan di tepi Taman Tasik Gravit 8, Kota Bayuemas. Pihak pasukan telah mengeluarkan kompaun kepada ketiga-tiga penjaja tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, katanya, MPK menafikan dakwaan yang tular dalam media sosial menyatakan pihaknya tidak mengambil tindakan terhadap penjaja warga asing.
"MPK meneliti beberapa aspek dari sudut perundangan terutama kepada peniaga yang terlibat dalam penyebaran video berbentuk provokasi dan dakwaan berunsur fitnah bahawa kami tidak mengambil tindakan kepada peniaga warga asing.
"Kami sentiasa menjunjung prinsip kesejahteraan penduduk termasuk peniaga dan amat menghargai mana-mana peniaga kecil yang sentiasa patuh kepada peraturan termasuk pemilikan lesen yang sah," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram