[VIDEO] Anak Malaysia usia 10 tahun rekod dunia susun papan catur sambil tutup mata


  • Tular
  • Rabu, 27 Sep 2023

Punithamalar Rajashekar, 10 berjaya memecah Guinness World Records selepas menyusun papan catur dalam masa 45.72 saat dengan mata bertutup pada Isnin.

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Malaysia berjaya memecah Guinness World Records selepas menyusun papan catur dalam masa 45.72 saat dengan keadaan mata bertutup.

Punithamalar Rajashekar yang merupakan pemain catur mewakili pasukan sekolahnya, melakar rekod itu pada Isnin selepas catatannya diiktiraf oleh badan rekod dunia tersebut sebagai pemegang rekod terbaharu bagi masa terpantas menyusun catur dalam keadaan mata yang ditutup.

Menurut Punithamalar, dia mula berminat untuk bermain catur ketika usianya lima tahun.

Selain itu, dia turut mengaku gemar menonton beberapa video pemegang rekod dunia terdahulu demi mengkaji teknik-teknik yang digunakan sebelum melakukan perkara tersebut.

"Bapa ialah jurulatih saya. Kami bermain catur bersama hampir setiap hari,” katanya yang juga merupakan ahli Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE).

Punithamalar berkata, percubaan memecah rekod dunia itu dilakukan di sekolahnya di Perak.

Pada masa yang sama, dia menyatakan bahawa ia membawa impak yang besar dalam hidupnya dan turut berkongsi harapannya bahawa kejayaan itu akan memberi inspirasi kepada orang ramai untuk tidak berputus asa mencapai impian yang luar biasa.

Gadis genius itu berkata, idea untuk mencuba rekod dunia muncul ketika menonton dokumentari tentang pencapaian yang menakjubkan.

"Melihat orang ramai mencapai pencapaian yang luar biasa benar-benar memberi inspirasi kepada saya.

"Saya sangat tertarik dengan idea untuk mencapai matlamat peribadi dan mendorong diri melebihi kemampuan saya serta mencuba menyertai rekod dunia ini," katanya.

Bukan itu sahaja, Punithamalar juga kerap menyertai kejohanan di seluruh negara.

"Saya telah pun menyertai pelbagai acara seperti Kids Got Talent dan saya rasa mahu mencapai lebih banyak pengiktirafan. Ayah saya mencadangkan agar saya memberi tumpuan kepada minat saya, jadi saya dan keluarga memutuskan bahawa saya harus berhasrat untuk memecahkan rekod ini," kata remaja berusia 10 tahun itu.

Apabila ditanya inspirasi dan matlamat sepanjang hayatnya, dia berkata bahawa dia suka matematik dan bercita-cita menjadi saintis angkasa lepas.

Menurut kenyataan Guinness World Records, kanak-kanak itu memperoleh beberapa anugerah, termasuk Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Asia 2022-2023, dan telah mempamerkan kemahirannya dalam pelbagai pertandingan, seperti Malaysia's Kids Got Talent. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram