[VIDEO] Kali pertama beraksi, skuad AoV Malaysia lakar sejarah raih pingat e-sukan


  • Podium
  • Rabu, 27 Sep 2023

Skuad Arena of Valor negara menyumbangkan pingat pertama dari acara e-sukan. — Agensi

KONTIJEN Malaysia di Sukan Asia Hangzhou sudah mula menuai pingat dengan sejarah tercipta buat arena e-sukan negara.

Hal ini disebabkan, atlet e-sukan negara buat kali pertama telah berjaya mendapatkan pingat di Sukan Asia apabila menyumbangkan pingat perak.

Skuad e-sukan bagi acara Arena of Valor (AoV) mencatat sejarah apabila berjaya mendapatkan pingat dalam penyertaan pertama mereka seperti dalam video tular di Twitter (X).

Pencapaian membanggakan itu hadir apabila skuad AoV negara berjaya mara ke perlawanan akhir untuk menentukan pemilik pingat emas bersama-sama China.

Akan tetapi, rezeki untuk merangkul pingat emas tidak menjadi kenyataan apabila skuad AoV negara tewas 0-2 kepada China. Walaupun tewas kepada pasukan pilihan, namun ia tetap merupakan pencapaian membanggakan buat Malaysia.

Pencapaian ini nyata cemerlang buat skuad AoV negara kerana barisan atlet iaitu Lai Chia Chien, Nicholas Ng, Eng Jun Hao, Yong Zhen Quang dan Chong Han Hui merupakan pemain berstatus separuh masa sahaja.

"Kami sudah cuba yang terbaik, walaupun kalah tapi kami banyak belajar dan kami berazam untuk kembali lebih kuat.

"Kami bangga dapat melakar sejarah muncul pasukan e-sukan pertama negara yang memenangi pingat buat Malaysia," kata Chia Chien.

Kejayaan memperoleh pingat perak ini menjadi lebih manis apabila skuad AoV negara akan menyertai liga profesional pada masa akan datang.

Pengurus pasukan, Wong Kang Woon berkata barisan serupa akan dihantar bagi memastikan kekuatan pasukan dapat ditingkatkan supaya boleh tampil mencabar dengan lebih hebat di masa akan datang.

Skuad AoV negara telah membuktikan yang industri e-sukan Malaysia mempunyai potensi untuk maju jika diberikan peluang untuk menyinar.

Semoga akan ada lebih banyak lagi pingat dapat disumbangkan oleh kem e-sukan negara di Hangzhou. Tahniah! — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram