[VIDEO] Pengguna jalan raya meremang jumpa 'pak belang' berkeliaran atas jalan raya


  • Tular
  • Selasa, 26 Sep 2023

Tangkap layar video memaparkan seekor harimau berkeliaran dipercayai berlaku di sebuah jalan raya pada Selasa.

SEORANG pemandu lori ais terkejut selepas melihat kelibat seekor harimau belang berkeliaran di atas jalan raya di laluan Gua Musang-Jeli pada Selasa.

Kelibat harimau belang yang ditemukan berkeliaran di tengah jalan tersebut berjaya dirakam pemandu lori ais, Che Fiti Zulhilmi Che Lah, 22, kira-kira pukul empat petang.

Che Fiti yang ditemani rakannya, Mohad Amir Saari, 25, mendedahkan dia terserempak dengan haiwan tersebut ketika dalam perjalanan pulang dari Jeli menuju ke Gua Musang, Kelantan.

"Kelibat Pak Belang yang kelihatan keluar merayau di jalan raya di kawasan Bukit Meranti," katanya.

Dalam video tular berdurasi kurang seminit itu, harimau tersebut dilihat merayau berseorangan di lokasi kejadian sebelum ia menghilangkan diri ke hutan berhampiran setelah melihat kenderaan lain melalui kawasan tersebut.

Turut kedengaran suara perakam yang teruja dan pada masa yang sama ketakutan melihat kelibat haiwan itu.

"Meremang bulu roma saya, besar harimau ini, agak-agak nak pergi mana itu?," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya telah menerima aduan berkenaan kejadian yang telah tular itu.

"Pihak kami telah ke tempat kejadian dan siasatan sedang dijalankan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram