TINDAKAN seorang pegawai tertinggi pihak berkuasa, Pesuruhjaya Polis Karo Polis Wilayah Sulawesi Utara, Wawan Wirawan memukul seorang anggota Polis Manado yang tular di media sosial baru-baru ini menerima kecaman warga maya.
Manakan tidak, melalui rakaman video yang dimuat naik di laman Instagram peribadi wakil rakyat Komisi III DPR RI, Ahmad Sahroni memaparkan pegawai atasan tersebut mengasari mangsa dikenali sebagai Jufry Suhani di dalam sebuah gudang.
“Tuan Ketua Polis @listyosigitprabowo, anggota ini harus dikenakan hukuman yang berat," tulisnya selepas mangsa dilaporkan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada sebuah lokasi di Sulawesi, Indonesia pada Jumaat lalu.
Dalam video tersebut, pada awalnya kelihatan Wawan dan Jufry berada di dalam sebuah premis gudang.
Wawan kemudiannya dilihat menutup pintu gudang tersebut sebelum menumbuk Jufry beberapa kali sehingga mangsa jatuh ke lantai sebelum menendangnya di badan.
Sementara itu, memetik laporan media antarabangsa TribuneNews.Com, Wawan mempertahankan tindakannya itu dan menafikan memukul Jufry.
"Bukan pukul atau aniaya pegawai. Saya hanya memberi teguran kepada pegawai tersebut kerana membuat kesilapan," katanya.
Menurutnya lagi, dia menegur Jufry selepas menerima laporan daripada premis gudang tersebut yang mengatakan mereka telah diganggu oleh pihak polis.
"Saya dan seorang lagi pegawai pergi ke tempat kejadian dengan menggunakan baju biasa. Sesampainya di sana, saya terus menarik Jufry ke bahagian belakang dan menasihatinya," katanya lagi.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram