Kes Ebit Lew: Saksi ke-8 ambil masa 2 hari siasat 'pendrive' dipercayai miliki bahan lucah


Ebit Lew ketika hadir ke Mahkamah Majistret Tenom, Sabah. — Awani

SAKSI kelapan perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di Tenom, Sabah pada Selasa bahawa beliau mengambil masa selama dua hari untuk menganalisis data di dalam pemacu pena yang dipercayai mengandungi bahan berunsur lucah.

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Inspektor Yip Chang Ching, 43, berkata, data diperoleh disimpan dalam cakera video digital boleh rekod (DVD-R) PDRM dan beliau turut menyerahkan laporan berhubung perkara itu kepada pegawai penyiasat pada 10 Januari lepas.

Beliau berkata demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad dalam pemeriksaan utama mengenai hasil analisis saksi terhadap barang kes yang diterima pada 9 Disember 2022.

Bagaimanapun, peguam Ram Singh memohon agar keterangan saksi itu berhubung data yang diperoleh daripada pemacu pena dipadam sehingga pembelaan menerima salinannya.

Majistret Nur Asyraf Zolhani membenarkan permohonan itu dan memaklumkan Yip boleh disoal semula selepas pembelaan berpeluang meneliti serta mengkaji kandungan pemacu pena dan DVD-R berkenaan.

Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung pada 9 Januari tahun depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram