[VIDEO] Kena rempuh lori hilang kawalan ke lereng bukit, pemandu Persona rentung di Jelebu


  • 112
  • Selasa, 26 Sep 2023

Tangkap layar kemalangan membabitkan dua buah kenderan yang berlaku di Bukit Tangga, Taman Eko-Rimba Jeram Toi, Jelebu.

SATU kemalangan tragis berlaku membabitkan sebuah lori dan kereta apabila kedua-duanya terbabas ke lereng bukit berketinggian enam meter di Bukit Tangga, berhampiran Taman Eko-Rimba Jeram Toi, Jelebu, Negeri Sembilan pada pagi Selasa.

Pemandu kereta terbabit dilaporkan maut selepas kenderaannya terbakar di lokasi kejadian.

Menurut laporan media, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pasukan bomba mendapat maklumat mengenai kejadian kira-kira pukul 9.26 pagi melibatkan kemalangan sebuah kereta jenis Proton Persona dan lori.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, lori tersebut dalam perjalanan dari Seremban, Negeri Sembilan menghala ke Jelebu dan telah hilang kawalan lalu terbabas semasa menuruni bukit berhampiran Jeram Toi.

"Lori berkenaan kemudiannya melanggar sebuah kereta menyebabkan kedua-dua kenderaan tersebut jatuh ke lereng bukit dengan ketinggian kira-kira enam meter.

"Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut telah terbakar 100 peratus dan pemandu lori mengalami kecederaan parah di kepala dan telah dibawa ke Hospital Jelebu.

"Pemandu kereta meninggal dunia di dalam kenderaan yang terbakar dan pihak bomba telah mengeluarkan mayat mangsa kira-kira pukul 12.04 tengah hari," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jelebu, Asisten Superintendan, Goh Kay Lun berkata, identiti mangsa kemalangan yang rentung itu sedang dikenal pasti.

"Pihak polis akan menyemak nombor casis kenderaan yang terbakar tersebut bagi tujuan mengenal pasti pemilik kenderaan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jelebu bagi proses bedah siasat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram