ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan beras lima kilogram (kg) pada harga RM1 menerusi Program Misi Jual Beras RM1 anjuran Yayasan Misi Rakyat, di Dewan Serbaguna Masjid Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah pada Selasa.
Pengasas Yayasan Misi Rakyat Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi berkata, sebanyak 1,000 kampit beras yang diperuntukkan untuk program itu habis dijual dalam tempoh setengah jam selepas jualan bermula pada pukul 9 pagi.
Beliau berkata, jualan yang dilakukan dengan menggunakan kupon itu diharap dapat memberikan manfaat kepada penduduk Sungai Petani, khususnya golongan asnaf.
Katanya, program itu meraih sambutan amat menggalakkan apabila orang ramai sudah menunggu di pekarangan dewan seawal pukul 6.45 pagi.
"Semua yang kita rancang berjalan lancar dan berharap sedikit sebanyak dapat membantu penduduk yang kesempitan hidup ketika ini membeli beras hanya RM1. Mereka tunjuk kupon dan kita bagi beras tanpa mengira latar belakang," katanya.
Kedah merupakan destinasi kedua program tersebut selepas kali pertama dianjurkan di Perak, Ahad lepas.
Nur Ahmad Faiz berkata, pihaknya bercadang untuk mengadakan program tersebut di Perlis, Pulau Pinang dan Langkawi selepas ini.
Dalam pada itu, suri rumah, Roslina Husin, 40, dari Taman Ria Jaya berkata, program itu sangat membantu rakyat yang kini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Ya lah, walaupun depa (mereka) benarkan sekampit seorang, tapi kami rasa bersyukur sangat, tahanlah beberapa hari untuk masak di rumah, di luar dah sampai berbelas ringgit sekampit beras ini. Terima kasih bagi peluang ini, kuranglah sikit beban keluarga," katanya.
Bekas pemandu bas sekolah, Ghazali Othman, 71, dari Batu Dua berkata, dia teruja dapat membeli beras pada harga RM1 dan mengharapkan program itu boleh diteruskan pada masa hadapan bagi meringankan beban golongan yang memerlukan. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram