[VIDEO] Tak puas hati keputusan juri punca pendikir barat bertekak, siap terbalikkan meja


Tangkap layar kejadian pergaduhan melibatkan wakil kumpulan dengan pihak juri semasa pertandingan akhir dikir barat sempena FKRK 2023 pada Sabtu.

SUASANA pertandingan akhir dikir barat sempena Festival Kesenian Rakyat Kelate (FKRK) 2023 pada Sabtu menjadi tegang susulan terdapat wakil kumpulan yang tidak berpuas hati dengan keputusan pihak juri.

Pergaduhan yang berlaku di Pantai Geting, Tumpat, Kelantan kira-kira pukul 11.30 malam itu tercetus sejurus nama pemenang diumumkan.

Menerusi video yang dikongsikan di laman media sosial, wakil satu daripada empat pasukan yang bertanding dilihat tampil menyuarakan ketidakpuasan hati mereka berhubung keputusan berkenaan.

Mereka mendakwa, berlaku ketidakadilan dan campur tangan pihak luar semasa proses dibuat.

Pada awalnya, kekecohan itu hanya melibatkan pertikaian dan perbalahan sebelum keadaan menjadi semakin panas sehingga berlaku insiden meja juri diterbalikkan.

Namun jawatankuasa keselamatan program itu bertindak pantas dengan meleraikan pertikaman lidah yang mungkin boleh mencetuskan pergaduhan lebih besar.

Wakil pasukan yang terlibat juga berjaya ditenangkan sebelum satu pertemuan bersama penganjur dan pihak berkaitan diadakan bagi menjelaskan situasi sebenar.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

"Kekecohan tercetus daripada salah faham sahaja dan ia diselesaikan dengan baik antara pihak yang berkaitan," katanya.

Pertandingan akhir dikir barat itu merupakan antara acara kemuncak FKRK 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 21 September hingga Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



Lebih Pilihan