[VIDEO] 'Anak buah' sendiri dalang kes tembak mati di Machang


  • 112
  • Khamis, 21 Sep 2023

Tangkap layar video tular memaparkan mangsa maut dalam keretanya selepas ditembak di Machang, Kelantan pada Ahad lalu.

PEMILIK bengkel yang mati dalam kejadian tembakan di Kampung Hutan Kuin, Machang pada Ahad lalu disyaki dibunuh oleh 'anak buah' sendiri ekoran daripada perselisihan dalaman yang yang berlaku dalam kalangan kumpulan penjenayah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan mendapati, pembunuhan terhadap mangsa, 38 yang juga dikenali sebagai Apih Kulim tercetus selepas berlaku pergaduhan besar dalam kumpulan yang dipercayai diketuai sendiri oleh lelaki tersebut.

"Tembakan pada kedua-dua anggota badan mangsa itu dikenal pasti semasa proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Machang dekat sini,” katanya seperti dilaporkan Kosmo.

Muhamad Zaki berkata, Apih Kulim disahkan apabila terkena tujuh das tembakan pada kepala dan dadanya dalam kejadian di kampung berkenaan.

Beliau turut memberitahu, siasatan lanjut dijalankan di kawasan lain turut menemui dua pucuk pistol milik mangsa dipercayai digunakan untuk pelbagai aktiviti haram.

“Ekoran kejadian ini, polis telah menahan empat suspek berusia 25 hingga 36 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

“Penahanan kesemua suspek juga dapat merungkai beberapa kumpulan lain yang aktif menjalankan kegiatan haram terutama pengedaran dadah,” ujarnya.

Muhamad Zaki berkata, empat suspek ditahan turut mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk penyalahgunaan dadah, bergaduh, ugut dan menyebabkan kecederaan parah

Katanya, polis juga memanggil seramai 25 saksi termasuk rakan mangsa, keluarga dan individu yang berada di lokasi kejadian untuk membantu siasatan.

“Siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek lain yang terlibat dalam kejadian itu. Polis juga sedang memburu individu yang terlibat dalam kegiatan menyalahi undang-undang termasuk pengedaran dadah bersama mangsa,” ujar beliau.

Keempat-empat suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula pada Rabu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Majoriti sebelum itu melaporkan mengenai video tular memaparkan mayat seorang lelaki berlumuran darah di bahagian pemandu kenderaan pacuan empat roda.

Video berdurasi 10 saat melibatkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5.30 petang itu difahamkan dirakam orang awam yang berada di lokasi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram