TINDAKAN sekumpulan lelaki dipercayai bergaduh di Desaru International Bike Week 2023 pada Sabtu menarik perhatian warga maya baru-baru ini.
Manakan tidak, melalui beberapa video tular yang dimuat di media sosial, kelihatan beberapa pengunjung program dipercayai membabitkan dua kumpulan peserta yang juga pemilik motosikal berkuasa besar bertindak di luar kawalan.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku pada Sabtu di Pantai Desaru, Johor.
Melalui maklumat awal yang dikongsikan, pergaduhan tersebut melibatkan beberapa geng bikers Hells Angels dari Indonesia dan warga tempatan. Ia berdasarkan jaket dengan logo Hells Angels yang dikenakan sekumpulan lelaki terbabit.
Melalui rakaman video tersebut, beberapa orang lelaki kelihatan membuat provokasi dengan tumbuk menumbuk dan saling tendang menendang sesama sendiri.
Malah ada dalam kalangan mereka menjadikan bangku plastik dan topi keledar sebagai senjata dengan membaling objek tersebut ke arah satu sama lain.
Namun, tidak dapat dipastikan punca sebenar pergaduhan itu berlaku.
Difahamkan, insiden pertengkaran antara dua kumpulan itu sudah bermula di sebelah petang yang kemudian dikatakan berlanjutan sehingga ke malam.
Ia berdasarkan sebuah lagi rakaman tular berdurasi 4 minit 25 saat yang memaparkan kejadian pada sebelah siang dengan kelibat beberapa anggota polis dilihat berjaya mengawal pertengkaran yang berlaku.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mahupun penganjur program tersebut.
Untuk rekod, Desaru International Bike Week 2023 adalah festival dan pameran antarabangsa yang dianjurkan selama tiga hari sejak Jumaat bagi meraikan gaya hidup permotoran. — Majoriti
Menyusul...
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram