[VIDEO] Saat dikejar polis, suspek tokan campak bungkusan putih 'kantoi' dirakam orang awam di Johor


Tangkap layar kejadian seorang lelaki dipercayai pengedar dadah cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa di Minyak Beku, Batu Pahat, Johor.

CUBAAN seorang lelaki dipercayai pengedar dadah untuk melarikan diri daripada pihak berkuasa gagal selepas kenderaannya dikejar kereta peronda polis .

Rakaman kejadian yang dikongsikan di laman Twitter pada Ahad itu difahamkan berlaku di Minyak Beku, Batu Pahat, Johor.

Pemandu itu pada awalnya tidak memberi kerjasama dan bertindak mengundurkan kereta Honda Civic berwarna oren yang dipandunya secara perlahan-lahan.

Berdasarkan rakaman berdurasi dua minit 27 saat itu, lelaki tersebut dilihat sempat membuang satu bungkusan berwarna putih dipercayai mengandungi dadah di tepi jalan.

Tindakan lcik itu bagaimanapun sempat dirakam orang awam yang turut menyaksikan kejadian berkenaan.

Suspek kemudian memberhentikan kenderaanya di bahu jalan, sebelum seorang anggota polis bersenjata dilihat bergegas keluar ke arahnya untuk mengarahkan suspek menyerah diri.

Pihak polis seterusnya menarik lelaki itu keluar daripada keretanya sebelum menggari kedua-dua belah tangan suspek.

Bagaimanapun, status suspek masih belum dapat dikenal pasti sehingga kini.

Setakat berita itu ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram



Lebih Pilihan