[VIDEO] Asyik terlepas sebab bawah umur, satu balai nyanyi lagu hari jadi, potong kek ngam-ngam tokan dadah 18 tahun


  • Benua
  • Rabu, 07 Jun 2023

Tangkap layar memaparkan seorang pemuda dikelilingi beberapa pegawai yang menyanyikan lagu hari jadi untuk pemuda tersebut di sebuah Balai Polis di Brazil. — Agensi

SAMBUTAN hari jadi adalah antara momen yang paling ditunggu-tunggu oleh setiap orang saban tahun.

Sama ada diraikan secara sederhana atau besar-besaran, ia tetap meninggalkan memori berharga.

Namun berlainan pula kisahnya dengan seorang pemuda di Brazil yang menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-18 dengan penuh 'drama' di sebuah balai polis.

Manakan tidak, pemuda yang tidak didedahkan namanya itu menerima 'hadiah istimewa' daripada pihak berkuasa tempatan dan bakal dijatuhkan hukuman penjara kerana kegiatan jenayah yang dilakukan selama ini.

Melalui video tular yang dimuat naik di laman Twitter @fightvideos memaparkan seorang pemuda dikelilingi beberapa pegawai yang menyanyikan lagu hari jadi untuk pemuda tersebut di dalam sebuah bilik.

"Pemuda ini mengedar dadah sepanjang zaman kanak-kanaknya dan ditangkap berkali-kali tetapi kerana undang-undang di Brazil tidak boleh menangkap seseorang sebelum mereka mencapai umur 18 tahun, dia dilepaskan setiap kali dicekup selama ini.

"Polis akhirnya menangkap pemuda itu apabila dia mencapai usia 18 tahun. Sambutan hari lahir paling teruk sekali," ciap pemilik akaun berkenaan.

Dalam video berdurasi 35 saat itu juga pemuda berkenaan memegang sebuah kek dalam keadaan sugul seakan-akan mengerti kehidupannya selepas itu akan banyak dihabiskan dalam penjara. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram