Hidup mewah hasil edar dadah, 3 tokan termasuk ejen insurans kena cekup bersama bekalan 800 penagih


  • 112
  • Selasa, 17 Jan 2023

Pihak polis menunjukkan barangan yang dirampas dalam satu serbuan dijalankan di Georgetown, Pulau Pinang pada Jumaat lalu. — Bernama

DUA orang penganggur dan seorang ejen insurans yang dipercayai hidup dalam kemewahan menjadi tokan bahan terlarang akhirnya ditahan polis selepas ketiga-tiga mereka didakwa mengedar dadah dalam satu serbuan yang dijalankan di George Town, Pulau Pinang pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketiga-tiga mereka yang berumur 22 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah apartmen di Jelutong dan sebuah kondominium di Lebuh Gat, hasil maklumat dan risikan yang dijalankan.

Beliau berkata, polis turut merampas dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan ketamin bernilai RM129,220, serta dua kenderaan mewah iaitu BMW dan Ford Mustang dianggar bernilai RM373,000 dalam serbuan itu.

"Polis merampas 151 paket plastik serbuk dadah MDMA seberat 2,507 gram bernilai RM125,350 dan satu paket ketamin seberat 25.8 gram bernilai RM3,870, semua MDMA itu telah dicampur dengan beberapa perasa minuman antaranya lemon dan oren," katanya.

Berdasarkan siasatan, mereka dipercayai membungkus sendiri dadah MDMA itu dengan mencampurkannya dengan serbuk berperisa minuman sebelum mengedarnya di pusat-pusat hiburan sekitar negeri ini.

Mohd Shuhaily berkata, ketiga-tiga lelaki itu dipercayai bergiat aktif menjalankan kegiatan mengedar dadah sejak awal tahun lepas, sehingga membolehkan mereka menjalani gaya hidup yang mewah.

"Ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek negatif dadah namun dua daripadanya mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dan menambah semua dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh 800 penagih.

Beliau berkata, polis turut menyita empat kenderaan termasuk motosikal, wang tunai RM3,559, dua utas rantai leher, seutas rantai tangan, dua bentuk cincin serta loket emas yang kesemuanya bernilai RM441,588 dan keseluruhan rampasan serta sitaan dianggar bernilai RM570,808.

Mohd Shuhaily berkata, ketiga-tiga mereka direman sehingga 20 Januari ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Berbahaya 1952. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram