[VIDEO] Lelaki bertopi pura-pura belek baju kurung sebelum rembat duit gaji staf butik di JB


  • Tular
  • Rabu, 13 Sep 2023

Tangkap layar insiden kecurian melibatkan seorang lelaki di sebuah premis butik pakaian dekat sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru, Johor pada petang Selasa.

TINDAKAN seorang lelaki yang mencuri wang dari laci kaunter sebuah premis butik pakaian di pusat beli belah di Johor Bahru, Johor pada Selasa mengundang perhatian ramai.

Ketika kejadian, individu berbaju merah itu terlebih dahulu dilihat sedang membelek beberapa pakaian yang dijual di kedai berkenaan sebelum mula meluru ke arah kaunter bayaran untuk melakukan kegiatan curi tersebut.

Namun, situasi mula berubah sebaik lelaki berkenaan terus mengambil beberapa wang dari laci meja kaunter terbabit.

Tindakan suspek dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum tular sejak Selasa malam.

Dalam pada itu, pemilik premis niaga itu menjelaskan bahawa dia mengalami kerugian sebanyak RM4,000 dan sebahagian daripada wang itu merupakan gaji pekerjanya.

Justeru, dia menawarkan ganjaran RM200 kepada sesiapa yang mengenali dan berjaya menangkap pencuri berkenaan.

Di ruangan komen, rata-rata warganet menganggap ia merupakan insiden yang dirancang oleh si pelaku.

"Nampak macam dia dah lama sasarkan kedai itu, dia boleh tahu ada duit banyak tersimpan di laci itu, dan tahu selok belok kedai tersebut," kata Yasmeen Hadzirah.

"Tahu pula ada duit banyak dekat situ, macam pelik kalau tengok video dia sebab dia masuk terus ke arah kaunter," ujar FahmI Uwais.

"Muka semua ada dalam kamera CCTV, dia tak boleh lari mana esok polis tangkap la ni," jelas Dian Rizki.

"Naya pemilik nak bayar gaji pekerja, RM4000 bukan sikit punya duit mesti untung sebulan juga itu, harap tertangkap segera si pencuri," tambah Farah Nadirah.

Sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung perkara itu dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membuat laporan atau berhubung dengan pemilik premis 'Busana Heritage' untuk sebarang maklumat berkaitan si pencuri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram