PERBUATAN seorang lelaki yang mencuri tabung derma di sebuah masjid dipercayai dekat Pulau Pinang pada Rabu mengundang kecaman ramai.
Dalam satu rakaman tular berdurasi 26 saat, memaparkan individu terbabit menggunakan mesin pemotong grinder untuk memotong tabung berkenaan.
Percikan api besar turut kelihatan ketika kejadian namun perlakuannya tidak disedari mana-mana pihak dengan ruang masjid terbabit dipercayai kosong tanpa jemaah.
Dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV), video itu meraih lebih 10,000 jumlah tontonan setakat ini.
Namun, jumlah kerugian dialami masjid berkenaan tidak dinyatakan setakat ini dengan identiti si pencuri juga gagal dikenal pasti oleh pihak masjid.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden tersebut setakat ini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai polis untuk membuat laporan lanjut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram