Warga emas, cucu ditemukan lemas dalam kolam terbiar


  • 112
  • Selasa, 12 Sep 2023

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Kommisioner Zaidy Che Hassan berkata warga emas itu dikatakan membawa cucunya bersiar-siar sebelum kejadian malang itu berlaku. — Facebook

SEORANG lelaki warga emas berusia 78 tahun dan cucu lelakinya berusia berusia setahun tujuh bulan, ditemukan lemas di dalam sebuah kolam terbiar, berhampiran sebuah restoran di Taman Kempas di Sungai Petani, Kedah, pada Isnin, kira-kira pukul 7.20 malam.

Mangsa dikenali sebagai Azmi Abdullah dan cucunya, Muhammad Ziyaaf Mikhail Muhammad Yuzarith.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner, Zaidy Che Hassan berkata, sepasukan anggota dari Balai Polis Tikam Batu, bergerak ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai penemuan mayat kedua-dua mangsa yang terapung di dalam kolam tersebut.

"Sebaik tiba di lokasi, kedua-dua mangsa yang berasal dari Kampung Matang Berangan, Pinang Tunggal, Sungai Petani dikeluarkan dari kolam sedalam satu meter, dengan bantuan orang awam.

"Maklumat awal daripada bapa kanak-kanak terbabit, warga emas itu sering mengambil anaknya dan membawanya berjalan-jalan setiap petang...namun sehingga pukul 7 malam tadi, kedua-dua mereka tidak pulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Zaidy berkata, bapa kanak-kanak itu keluar mencari dan sewaktu melalui kawasan kolam itu, dia melihat orang ramai berkumpul sebelum menemukan mayat kedua-dua mangsa yang sudah terapung di dalam kolam tersebut.

"Pemeriksaan terhadap mangsa dan tempat kejadian mendapati tiada unsur-unsur jenayah dan mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim untuk bedah siasat,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram