IBU kepada kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan yang ditemukan lemas bersama datuknya di dalam kolam terbiar di Taman Kempas, Sungai Petani, Kedah pada Isnin reda dengan kejadian itu.
Zarina Azmi, 34, berkata, dia juga tidak menyangka pelukan erat anaknya Muhammad Ziyaaf Mikhail Muhammad Yuzarith sebelum kejadian, menjadi petanda kanak-kanak itu akan pergi meninggalkannya buat selamanya.
"Arwah merupakan anak tunggal, sembilan tahun selepas mendirikan rumah tangga barulah saya melahirkannya...memang kelahiran yang ditunggu-tunggu,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Hospital Sultan Abdul Halim pada Selasa.
Zarina berkata, sebelum kejadian anaknya itu berada bersamanya di kedai makan yang diusahakannya, sebelum dijemput datuk kepada kanak-kanak itu, Azmi Abdullah, 78, kira-kira pukul 5 petang.
Namun, katanya, kira-kira pukul 7 malam, dia mendapat berita bahawa anaknya itu ditemukan lemas bersama datuknya di dalam sebuah kolam.
Sementara itu, adik kepada Azmi, Yusof Abdullah, 61, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah abangnya pada bulan lalu dan berasa terkejut apabila menerima panggilan berhubung kejadian tersebut.
"Arwah sebelum ini tukang kebun sekolah dan dah lama pencen, memang rutin harian bawa cucu dia meronda pada waktu petang dengan motosikal.
"Kalau tengok keadaan kolam itu, airnya tak dalam mana pun tapi mungkin disebabkan licin akibat lumut, arwah tak berdaya nak selamatkan diri...apa pun yang berlaku semuanya sudah suratan takdir dan kami reda,” katanya.
Pada Isnin, seorang warga emas dan cucunya itu disedari tidak pulang ke rumah sehingga jam 7 petang, menyebabkan ahli keluarga mereka keluar mencari di sekitar kawasan berkenaan, sebelum mayat kedua-duanya ditemukan terapung di dalam sebuah kolam ikan terbiar berhampiran sebuah restoran.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Kommisioner Zaidy Che Hassan dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan tiada unsur jenayah ditemui dalam kejadian itu. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram