Budak 11 tahun lemas ketika tangkap ikan, mayat ditemui pada kedalaman 3 meter


  • 112
  • Ahad, 10 Sep 2023

Bomba menemui mangsa pada kedalaman tiga meter daripada tebing sungai berdekatan sebuah restoran di Jalan Nilam 1, Taman Cendana, Pasir Gudang.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun ditemukan lemas di sebuah sungai berdekatan sebuah restoran di Jalan Nilam 1, Taman Cendana, Pasir Gudang, di Johor Bahru, Johor, pada Ahad.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I KUP Mohd Yusri Atan berkata, kejadian pada pukul 5.16 petang itu, mengorbankan mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Danil Zahri Borhanuddin.

Beliau berkata, seramai sembilan anggota dengan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan tugas mencari dan menyelamat.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, mangsa dipercayai pergi ke sungai tersebut bersama sekumpulan rakan bagi melakukan aktiviti menangkap ikan dan mandi-manda.

"Bagaimanapun, mangsa ditemui pada kedalaman tiga meter dan juga tiga meter daripada tebing sungai itu,” katanya pada satu kenyataan.

Mohd Yusri berkata, petugas Kementerian Kesihatan yang berada di lokasi kejadian, kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada 6.40 petang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram