[VIDEO] Seorang pelancong lemas akibat bot terbalik di Semporna, polis tahan 4 lelaki


  • 112
  • Selasa, 05 Sep 2023

Pasukan penyelamat membawa keluar mangsa yang terlibat dalam nahas bos terbalik di kawasan perairan Pantai Timur Sabah dekat Semporna pada Isnin.

SEORANG pelancong asing mati lemas manakala lapan lagi berjaya diselamatkan selepas bot dinaiki mereka terbalik di kawasan perairan Pantai Timur Sabah dekat Semporna, Sabah pada Isnin.

Kejadian kemalangan itu berlaku di perairan Pulau Timba-Timba sekitar pukul 10.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, susulan insiden tersebut, pihaknya menahan empat lelaki terdiri daripada seorang warga tempatan berumur 22 dan tiga warga asing berusia antara 26 dan 40 tahun bagi membantu siasatan punca kemalangan.

Beliau berkata, laporan polis turut dibuat mengenai bot terbalik itu pada pukul 4 petang Isnin.

“Seorang lelaki berusia 38 tahun lemas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Farhan berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk perintah reman bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kejadian itu disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan secara cuai membawa kepada kematian dengan mereka yang didapati bersalah boleh berdepan hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kami menasihatkan pemilik bot supaya lebih berhati-hati dengan menyediakan peralatan keselamatan seperti jaket keselamatan (di atas bot mereka),” katanya.

Pada masa sama, beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khadijah Mohd Seruji di talian 019-8718002 atau balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram