SEORANG lelaki yang dikhuatiri lemas dibawa arus deras dekat Rumah Panjang Nanga Belaie, Ulu Skrang, Sri Aman Sarawak pada Sabtu akhirnya ditemukan pada Ahad.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 3 Sri Aman, Sarawak, Penguasa Bomba Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, mangsa dikenali sebagai Fresly Sedipin berusia 25 tahun ditemukan pada jarak 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sekitar pukul 3.15 petang Ahad.
"Pencarian memasuki hari kedua, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimaklumkan tentang penemuan mangsa yang berasal dari Kanowit, Sibu itu dijumpai oleh petugas SAR pada jarak 50 meter daripada Pusat Kawalan Operasi Bomba (PKOB).
"Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Muhammad Rais berkata, berikutan penemuan itu, SAR yang dilancarkan sejak petang Sabtu oleh 12 anggota SAR serta 30 penduduk kampung, ditamatkan pada pukul 3.50 petang.
Terdahulu, mangsa bersama tujuh rakan lain menyeberangi Sungai Skrang untuk mencari buah dabai.
Sejurus air surut, kesemua cuba untuk menyeberangi sungai, namun salah seorang iaitu mangsa hilang dipercayai hanyut di bawa arus.
Berikutan itu, rakan mangsa membuat laporan berkaitan kehilangan mangsa.
Sejurus menerima laporan sekitar pukul 2.55 petang Sabtu, pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bersama agensi lain bertindak melancarkan operasi SAR, pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram