TINDAKAN seorang remaja lelaki yang mencuri telefon pintar di sebuah premis menjual alat telekomunikasi di Baling, Kedah pada Sabtu mengundang perhatian ramai.
Ketika kejadian, individu terbabit masuk ke kedai tersebut dalam keadaan mencurigakan selepas beberapa kali dilihat meninjau keadaan sekeliling.
Namun, kegiatan curi itu berlaku sebaik remaja berbaju hitam itu meluru ke arah sebuah meja kaca dan mengambil telefon dipercayai jenis iPhone 13.
Tidak diperhatikan sesiapa, dia kemudiannya terus beredar dari lokasi terbabit.
Seorang individu dikenali sebagai Umairah Ishak dipercayai pemilik premis berkenaan menggesa agar si pelaku tampil memulangkan telefon yang dicuri.
Jelasnya, telefon terbabit merupakan milik salah seorang pekerjanya dan tempoh masa 24 jam diberikan buat remaja berkenaan sebelum laporan polis dibuat.
"Mohon kepada sesiapa yang mengenali budak di dalam gambar tersebut, tolong bagitahu dia suruh pulangkan balik telefon pekerja yang dia dah curi dalam kedai kami.
"Kedai sebelah Eco, kejadian berlaku antara pukul 10.30 hingga 11.00 pagi Sabtu.
"Tempoh 24 jam sebelum laporan polis dibuat, mohon kerjasama semua, terima kasih," tulisnya pada hantaran tersebut.
Sementara itu, perkongsian warganet di ruangan komen menjelaskan bahawa si pelaku cuba untuk menjual peranti tersebut di sebuah kedai berasingan di Baling.
Namun, perkara itu menemui jalan buntu apabila dia gagal untuk membuka kata laluan pada telefon tersebut yang sekali gus menghalangnya daripada meneruskan kegiatan terbabit.
"La budak ini baru sahaja tengah hari tadi datang kedai saya nak jual telefon iPhone 13, rasanya telefon itu dicuri sebab tengok kata laluan pun asyik disekat banyak kali.
"Nasib baik kami tak ambil, tak tahu la siapa punya dia rembat," kata Cokodok Cokodok.
Belum ada sebarang maklumat lanjut dikongsikan berhubung hal itu setakat ini dan orang ramai yang mengenali remaja terbabit, diminta tampil membantu pemilik premis berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram