PASANGAN warga Arab yang menjalankan sindiket meminta sedekah di sekitar Kuala Lumpur akhirnya berjaya diberkas baru-baru ini.
Menerusi video yang dimuat naik di laman X (Twitter) pada Sabtu, pasangan tersebut bersama bayi mereka dikepung oleh orang ramai yang berada di lokasi kejadian.
Berdasarkan rakaman tersebut juga, kedengaran beberapa individu menggesa seseorang agar menghubungi pihak berkuasa untuk menahan mereka.
Wanita Arab itu bagaimanapun berteriak kerana tidak mahu dibawa ke balai polis.
"No..no..no!" jeritnya.
Sebelum ini, Majoriti melaporkan tentang seorang wanita warga Arab bertindak biadab selepas kegiatannya yang dipercayai menjalankan sindiket meminta sedekah di sekitar ibu kota, Kuala Lumpur terbongkar.
Berdasarkan video berdurasi 22 saat itu, wanita tersebut dilihat berang dan mengangkat jari tengah kepada lelaki yang merakam perbuatannya itu.
Menerusi klip berkenaan, dia melakukan kegiatan tersebut bersama pasangannya yang juga lelaki warga Arab dan seorang kanak-kanak yang dibawa dengan menggunakan stroller
Insiden berkenaan berlaku berdekatan dengan pusat beli-belah Suria KLCC, Kuala Lumpur dengan waktu serta hari sebenar kejadian tidak dapat dipastikan.
Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan pihak berkuasa berhubung perkara itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
MENYUSUL...