[VIDEO] Pengemis berebut kawasan, sindiket 'berpurdah' kantoi kira duit sambil merokok di KL


  • Tular
  • Isnin, 03 Jul 2023

Tangkap layar sekumpulan wanita warga asing menjalankan kegiatan meminta sedekah di kawasan berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

SEKUMPULAN warga asing dipercayai sindiket peminta sedekah dirakam saling berbalah sesama sendiri ketika menjalankan kegiatan itu di sekitar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada Ahad.

Pergaduhan itu dikatakan berpunca akibat perebutan kawasan di tempat berkenaan yang sememangnya menjadi salah satu lokasi tumpuan bagi peminta sedekah di negara ini.

Lebih mengejutkan, beberapa individu terbabit kemudiannya dilihat sedang mengira duit dipercayai hasil kutipan di kawasan terbabit sambil merokok.

Menggunakan bahasa pertuturan asing, salah seorang daripada mereka dilihat turut membawa anak bersama ketika kejadian.

Untuk rekod, ini bukan kes pertama membabitkan golongan terbabit yang dirakam kerap meminta sedekah di negara ini.

Pada 10 Jun lalu, Majoriti melaporkan seorang lelaki dipercayai warga asing menjalankan kegiatan meminta sedekah dan berniaga barangan cenderahati di perhentian lampu trafik dekat Selayang, Selangor.

Individu berkopiah serta bertongkat itu dirakam menjalankan aktiviti tersebut di kawasan sekitar Hospital Selayang, Selangor.

Namun, sehingga kini, masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kedua-dua kes berkenaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat disaran tampil ke balai untuk membuat laporan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram