TINDAKAN licik seorang wanita yang berselindung di sebalik kegiatan mengemis ketika menjalankan aktiviti mencuri di sekitar Seremban Negeri Sembilan terbongkar pada Khamis.
Ia selepas tular satu video dikongsikan seorang mangsa yang juga pengguna Facebook, Vincent Mariadass memaparkan mengenai perbuatan wanita itu yang dipercayai mencuri wang tunai daripada kereta miliknya.
"Tolong berhati-hati dengan aunty ini yang mengemis sekitar Seremban. Dia bukan sahaja pengemis profesional tetapi juga pencuri profesional yang menyelongkar kereta.
"Dia berjalan-jalan sekitar Rasah (Seremban) mengemis dari kedai ke kedai sambil memeriksa mana-mana pintu kereta yang terbuka," menurut hantaran tersebut.
Menurut Vincent, dalam insiden tersebut, wanita berkenaan telah menyelongkar kesemua wang tunai di dalam kereta miliknya yang dianggarkan bernilai antara RM60 hingga RM80 dalam tempoh hanya kira-kira lima minit.
"Dia sangat berani dan hanya mengambil masa singkat untuk mencuri. Ini bermakna dia kerap melakukan perbuatan ini," ujarnya yang turut memaklumkan bahawa wanita berkenaan terlebih dahulu mengemis di kedainya sebelum melakukan kegiatan mencuri itu.
Dalam pada itu, video berasingan turut dikongsikan pada hantaran sama memaparkan bahawa wanita tersebut telah ditangkap dipercayai oleh beberapa individu yang berada di tempat kejadian.
Menerusi klip itu, beberapa individu dilihat meminta wanita berkenaan menunjukkan jumlah wang disimpan di dalam begnya yang dipercayai bernilai ratusan ringgit hasil kegiatan dilakukan.
Sementara itu, Vincent berkata, meskipun terdapat pihak mendakwa wanita berkenaan mempunyai masalah mental, ia tidak memberi lesen untuknya melakukan aktiviti mencuri.
Pada masa sama, menjengah ke ruangan komen, terdapat beberapa warganet yang berkongsikan pengalaman turut pernah terserempak dengan wanita terbabit.
Malah ada antara mereka mendakwa wanita tersebut juga dilihat kerap memasukkan wang dengan jumlah yang banyak ke dalam bank.
"Saya pernah terserempak dengannya yang membawa banyak not duit bernilai RM1, RM5 dan RM10 ke bank. Selepas itu saya lihat dia berjalan keluar untuk mengemis lampu isyarat di sekitar Seremban.
"Saya ada juga berikan dia duit beberapa kali, tapi lepas nampak jumlah duit yang dia masukkan ke dalam bank, saya berhenti," ujar KV Chee.
"Dia sangat popular di Seremban, dan akhir-akhir ini di stesen bas JB (Johor Bahru). Tolong berhati-hati," kata Yoges Waran.
"Cuba buka begnya dan lihat berapa banyak wang yang dia ada. Tak tipu, tapi saya sendiri dah lihat dengan mata sendiri. Ada orang yang belikan dia makanan tapi dia tolak. Dia hanya mahukan wang," ujar Suren Cappuchino. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram