[VIDEO] Pencuri sempat sedekah sebelum rembat motosikal, polis buru pengemis saksi utama bantu siasatan


  • Benua
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Tangkap layar insiden kes kecurian motosikal berlaku di daerah Cileungsi, Kabupaten Bogor, Jawa Barat, Indonesia.

PERBUATAN dua individu lelaki yang mencuri sebuah motosikal di daerah Cileungsi, Kabupaten Bogor, Jawa Barat, Indonesia pada Jumaat mengundang perhatian ramai.

Ia susulan kegiatan kedua-dua lelaki tersebut yang dilihat terlebih dahulu bersedekah kepada seorang pengemis sebelum melakukan kegiatan jenayah terbabit.

Ketika kejadian, suspek terlebih dahulu menunggang motosikal di lokasi berkenaan sebelum berhenti untuk memeriksa kawasan sekeliling.

Insiden itu dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan hangat diperkatakan di laman Instagram.

Menanti waktu yang sesuai untuk melarikan kenderaan tersebut, kegiatan itu bermula sebaik kawasan berkenaan tidak dipantau mana-mana pihak dan kedua-dua individu bertopi keledar itu terus mencuri salah sebuah motosikal di situ.

Ketua Polis Daerah Cileungsi, Kompol Zulkarnaen berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan berhubung hal terbabit dan kes masih dalam siasatan.

Katanya, polis ketika ini juga sedang memburu pengemis wanita berkenaan sebagai salah seorang saksi utama kejadian tersebut. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram