Selain Terminal 17, MBSA dedah terima aduan kes gelandangan di 2 lokasi lain di Shah Alam


  • Massa
  • Rabu, 21 Jun 2023

Beberapa individu dipercayai gelandangan menumpang tidur di sebuah surau berdekatan Terminal 17, Shah Alam.

SELAIN Terminal 17 di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mendedahkan pernah menerima aduan daripada penduduk berkenaan kes gelandangan dan pengemis di Seksyen 7 dan 9 dalam daerah berkenaan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komunitinya, Shahrin Ahmad berkata, aduan berkenaan diterima sejak tahun lalu.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah aduan yang diterima dalam tempoh berkenaan.

Menurutnya, pihak MBSA akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), polis dan sebagainya bagi memastikan isu gelandangan atau pengemis ini dapat ditangani secara berhemah dan tertib.

BACA LAGI: 'Surau bau kepam, tandas kotor', peniaga di Shah Alam resah isu gelandangan tidak berpenghujung

"Sekiranya gelandangan atau pengemis ini bukan warganegara Malaysia, bantuan dan kerjasama akan dipohon dari pihak imigresen utk membantu semasa operasi dijalankan.

"Kita inginkan Bandar Raya Shah Alam dalam keadaan bersih dan sejahtera serta sentiasa menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara," katanya kepada Majoriti pada Selasa.

Majoriti pada Isnin melaporkan para peniaga berhampiran Terminal 17, Shah Alam mendedahkan kewujudan kumpulan gelandangan di kawasan berkenaan semakin berlarutan sejak dua tahun lalu.

Kehadiran mereka yang menumpang kemudahan awam di lokasi berkenaan menyebabkan surau berbau kepam dan tandas kotor serta menyukarkan orang awam untuk menggunakan fasiliti berkenaan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram