[VIDEO] Anwar Ibrahim islamkan saudara baharu di New York lepas baca khutbah Jumaat


  • Primer
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Tangkap layar Anwar Ibrahim memimpin seorang lelaki melafazkan dua kalimah syahadah di sebuah masjid dekat New York, Amerika Syarikat.

KEHADIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke New York, Amerika Syarikat meninggalkan memori manis apabila beliau telah memimpin seorang lelaki melafazkan dua kalimah syahadah pada Jumaat.

Perkara itu berlaku sejurus selepas beliau selesai menyampaikan khutbah dan menunaikan solat Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York.

Rakaman tersebut tular di laman media dan saudara baharu itu dikenali sebagai Andrew Vinals.

Selesai ucap kalimah syahadah, para jemaah yang menyaksikan momen indah itu melaungkan ‘takbir’ sambil Anwar bersalaman dengan pemuda berkenaan.

Dalam pada itu, Anwar dalam kenyataan di Facebooknya pada Sabtu berkata, selepas solat Jumaat dirinya diminta komuniti Islam di sana untuk menyempurnakan proses lafaz shahadah seorang lelaki.

"Usai solat Jumaat, saya diminta komuniti Islam di sini untuk menyempurnakan proses lafaz syahadah saudara Andrew Vinals yang berhasrat memeluk agama Islam," katanya.

Selepas itu, beliau juga menyampaikan sumbangan Al-Quran kepada pihak Islamic Cultural Centre of New York (ICCNY) untuk kegunaan komuniti Islam di sana.

Untuk rekod, Anwar Ibrahim merupakan pemimpin negara luar pertama diberikan penghormatan menyampaikan khutbah di masjid ICCNY yang bersejarah, iaitu masjid pertama dibuka di kota New York pada 25 September 1995 yang turut menempatkan ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Rabu lalu, Anwar tiba di New York bagi menyertai pemimpin-pemimpin dunia menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) ke-78.

Sepanjang di New Work, beliau akan ditemani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dan beberapa Ahli Parlimen dan pegawai kerajaan. — Majoriti