[VIDEO] 'Jual cerita’ anak sakit di hospital, warga asing disyaki pukau peniaga restoran di Pasir Gudang


  • Tular
  • Sabtu, 23 Sep 2023

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki dipercayai warga asing disyaki menggunakan taktik penipuan pukau di sebuah restoran di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

SEORANG lelaki dipercayai warga asing disyaki menggunakan taktik penipuan pukau di sebuah restoran berhampiran pasar raya di Taman Rinting, Pasir Gudang, Johor baru-baru ini.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh seorang pengguna TikTok menerusi satu hantaran video di platform media sosial miliknya.

Menceritakan kejadian yang berlaku pada Khamis lalu, pada awalnya, lelaki dipercayai warga Indonesia itu cuba menjual dua utas gelang emas secara terus kepada pemilik restoran berkenaan dan saudaranya.

Dia didakwa cuba memerangkap kedua-dua wanita itu dengan 'menjual' cerita bahawa anaknya sedang sakit dan kini dirawat di hospital.

Malah, lelaki terbabit menggunakan helah lain dengan membuat panggilan video bersama isteri dipercayai bagi menguatkan lagi jalan cerita.

"Orang itu tanya pada makcik saya, 'kak nak beli emas tak?' terus direct bagi ke tangan makcik, dan dia tunjuk dua utas rantai emas.

"Dia beritahu sebab nak jual adalah anak dia sakit di hospital dan video call dengan isterinya, lalu makcik saya dengar luahan dia dan panggil mak mertua saya.

"Oleh kerana kasihan pada dia, makcik dan mak mertua cakap boleh nak beli tapi perlu semak dulu di kedai emas gram untuk kenal pasti sama ada emas itu tulen atau tidak," katanya.

Lelaki itu bersetuju untuk ke kedai emas dengan syarat dia perlu mengekori mereka dari belakang.

Tambahnya lagi, dia tidak boleh menjual sendiri emas tersebut di kedai disebabkan statusnya sebagai warga asing yang tidak mempunyai sebarang dokumen sah.

"Staf perempuan di kedai emas beritahu emas itu tulen, jadi makcik dan mak mertua putuskan untuk beli dan tolong dia.

"Tapi bila sudah diberi duit, dia offer barang yang lain pula. Dari situ mak mertua rasa separuh sedar sebab nampak gelang emas yang ditawarkan untuk kali kedua itu palsu," ujarnya.

Disebabkan tidak sedap hati, kedua-dua wanita berkenaan memutuskan untuk kembali semula ke kedai itu bagi memastikan sama ada emas tersebut tulen atau tidak.

Mengetahui keadaan itu, lelaki tersebut bertindak merampas semula emas itu.

"Mak mertua rasa terkejut dan kemudian tersedar, (dia berjalan) dengan mamai masuk balik ke kedai (dan) beritahu kepada makcik apa yang terjadi.

"Lepas dah sedar, makcik dan mak mertua pergi balik ke kedai emas itu, tapi dia (pekerja) itu kata bukan emas pula.

"Staf perempuan yang sama tu cakap tadi nak beritahu (emas itu palsu) tapi entah kenapa tak terluah pula," dakwanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram