'Kurang ajar betul', anak kecewa ibu lesap RM10,000 kena pukau 3 sekawan di JB


  • Tular
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Tangkap layar video mangsa dibawa masuk ke dalam sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki.

SEORANG wanita dipercayai lesap ribuan ringgit apabila menjadi mangsa pukau tiga individu tidak dikenali di Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor pada Ahad minggu lepas.

Kronologi insiden terbabit boleh dilihat berdasarkan video tular yang dikatakan dimuat naik oleh anak mangsa, @snbmy di laman sosial Instagram yang tular sejak Jumaat.

Ketika kejadian, tiga orang suspek dipercayai satu kumpulan itu dilihat sudah lama memerhati mangsa dan menjadikannya sasaran utama bagi melakukan modus operandi terbabit.

Mangsa kemudiannya dibawa masuk ke dalam sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki sebelum suspek perempuan mengacukan pisau ke arahnya dan meminta barangan kemas miliknya.

Bukan itu sahaja, suspek sempat bertanya sama ada mangsa mempunyai wang atau tidak tetapi mangsa memberitahu yang dia hanya membawa kad bank sahaja.

Susulan daripada itu, mangsa dibawa ke mesin pengeluaran automatik (ATM) yang berada di dalam sebuah stesen minyak untuk mengeluarkan wang tunai dipercayai sebanyak RM10,000.

Difahamkan, kejadian itu berlaku semasa mangsa sedang membeli barangan keperluan rumah di salah sebuah premis di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, Johor.

Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai berang dengan tindakan tiga orang suspek yang mengambil kesempatan ke atas mangsa itu.

"Kurang ajar betul, mak cik itu seorang bolehlah diorang nak pukau, kalau jadi dekat mak aku memang sampai lubang cacing aku cari," ujar Mohd Suffian.

"Kesian mak cik itu, tahu-tahu hilang hasil simpanan wang dia, semoga dipermudahkan urusan mak cik itu," jelas Wan Ahmad.

"Teringat pula mak dekat kampung beli barang dapur seorang-seorang dekat market, semoga ibu bapa kita sentiasa dilindungi ALLAH SWT," luah Siti Shafura.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan kejadian itu dan sedang memburu suspek.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya kepada Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram