SEORANG pengusaha kedai runcit dipercayai kerugian ratusan ringgit selepas telefon peribadi miliknya disamun seorang individu tidak dikenali pada Sabtu lalu.
Melalui video yang dimuat naik di halaman Facebook Info Terkini Jenayah Malaysia pada Selasa, maklumat awal yang dikongsikan mendapati kejadian itu berlaku di Machang Bubok, Seberang Perai, Pulau Pinang.
"Macam kena pukau, boleh pemilik kedai 'blur' sekejap selepas telefon pintar kena curi," katanya.
Menerusi video berdurasi dua minit 11 saat itu memaparkan pemilik kedai runcit berkenaan sedang meletakkan tanda harga pada barangan yang hendak dijual di kaunter.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar pukul 7.26 malam Sabtu, mangsa leka bekerja itu secara tiba-tiba didatangi suspek yang memakai topi keledar warna biru.
Suspek terus menghampiri mangsa dan mengambil sebuah telefon pintar yang diletakkan di atas kaunter sebelum melarikan diri.
Dalam video tersebut, pengusaha kedai runcit kelihatan tercengang seketika dan berkemungkinan tidak menyangka suspek akan bertindak sedemikian.
Menyedari apa yang berlaku, mangsa kemudiannya terus mengejar suspek.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memberikan pelbagai reaksi yang berbeza melihat video tersebut.
"Macam kena pukau weh, macam mana dia boleh berdiri macam itu sahaja sebelum kejar perompak itu," kata MawarPutih.
"Aku syak abang itu (suspek) ada letak sesuatu pada helmet dia, lain macam cara rembat (curi) dalam kedai sampai owner (pemilik) pun tidak perasaan," tulis Muhd Safuan.
Belum ada sebarang kenyataan polis Pulau Pinang berhubung insiden itu setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram