[VIDEO] Baki kad TnG kurang, pemandu selamba rempuh palang tol ada 8 saman lampau


  • Tular
  • Jumaat, 22 Sep 2023

Tangkap layar kejadian seorang pemandu kenderaan dengan sengaja melanggar palang tol sehingga rosak setelah mendapati baki dalam kad Touch' n Go miliknya tidak mencukupi.

SATU rakaman tular memaparkan seorang pemandu kenderaan dengan sengaja melanggar palang tol sehingga rosak setelah mendapati baki dalam kad Touch' n Go miliknya tidak mencukupi.

Tindakan selamba pemilik kenderaan tersebut mencetuskan reaksi yang pelbagai dalam kalangan warga maya.

Video berdurasi 29 saat itu dirakam menerusi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan di belakangnya.

Kejadian tersebut kemudiannya dikongsikan di laman media sosial, sebelum ia menjadi tular.

Berdasarkan maklumat orang awam, insiden itu berlaku di sebuah plaza tol di Negeri Sembilan, bagaimanapun, lokasi sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata meninggalkan komen yang mencuit hati setelah melihat keletah luar jangka pemandu berkenaan.

"Entah apalah yang dia fikir agaknya? Benda boleh panggil staf kat situ, atau ke tepi dulu ke. Ini tak, selamba badak saja dia rempuh palang tol," kata Norizam.

"Tak salah pun langgar palang itu, bukan rosak pun. Nanti penama kereta itu bayarlah bil dari awal tol yang paling jauh sampai tempat kejadian, bukan susah pun," tulis N Ajer.

"Palang ALB (Automatic Lane Barrier) tu jenis PVC (Polyvinyl Chloride). Jangan risau kalau terkepak, boleh dibetulkan semula. Tapi itulah, CCTV (rakaman kamera litar tertutup) sedang memerhati. Jaga-jagalah, jangan main-main dengan PLUS, sampai lubang cacing dia cari kau nanti," ujar sigunjai85.

"Adoi kasihan palang itu, dah tak berdaya dia nak naik lepas kena langgar," kata Nur Sihah Othman.

Hasil semakan Majoriti mendapati nombor pendaftaran kenderaaan terbabit memiliki lapan saman lampau meliputi beberapa kawasan seperti di Sepang, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan serta Alor Gajah dan Jasin di Melaka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram