[VIDEO] Pemandu treler minyak masak parah terjunam dalam gaung di SKVE


  • 112
  • Rabu, 06 Sep 2023

Tangkap layar memaparkan kejadian sebuah treler yang terjatuh dari jejambat selepas Plaza Tol Pulau Indah menghala ke Westport pada Rabu.

PENGGUNA jalan raya di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dikejutkan dengan kejadian sebuah treler yang terjatuh dari jejambat selepas Plaza Tol Pulau Indah menghala ke Westport, Pulau Indah, Selangor pada Rabu.

Insiden itu dirakam oleh individu yang berada di lokasi kejadian dan dimuat naik di laman media sosial, sebelum ia menjadi tular.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, pemandu treler tersebut dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas jentera berat dipandunya itu terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 4.5 meter.

Mangsa seorang lelaki berusia 50-an itu cuba keluar daripada bahagian tempat duduk pemandu treler tersebut meskipun cedera parah sebelum kejadian disedari peronda lebuh raya yang segera menghubungi pihak bomba.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.41 pagi.

“Treler yang membawa muatan minyak masak itu kemudiannya terjunam pada ketinggian 4.5m di bawah lebuh raya tersebut.

“Mangsa yang cedera parah kemudiannya keluar sendiri dari bahagian pemandu treler tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelasnya lagi, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor untuk rawatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram