[VIDEO] Tak puas hati keluar simpang punca lelaki dibeduk 'abang' lori


  • Tular
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Tangkap layar pergaduhan membabitkan dua pemandu dipercayai berlaku di jalan susur keluar ke Plaza Tol Port Dickson arah ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

TULAR video memaparkan pergaduhan melibatkan seorang pemandu lori dengan pemandu kenderaan jenis Mitsubishi dipercayai berlaku di jalan susur keluar ke Plaza Tol Port Dickson arah ke Kuala Lumpur.

Kejadian yang berlaku sekitar pukul 9.30 pagi pada Sabtu itu difahamkan berpunca daripada tindakan pemandu Mitsubishi yang dipercayai keluar simpang secara mengejut.

Rakaman berdurasi seminit 30 saat itu dimuat naik di laman Tiktok @rahmatroy821.

Difahamkan, laporan polis berhubung insiden berkenaan telah pun dibuat dan dikongsikan menerusi kapsyen video tersebut.

"Semasa saya sedang memandu kenderaan jenis Mitsubishi Storm mahu keluar dari simpang Taman Sungai Ujong Jalan Rasah dan dalam keadaaan selamat, tiba-tiba sebuah lori jenis Hicom yang dipandu oleh seorang lelaki telah membunyikan hon menandakan tidak puas hati.

"Kemudian lelaki tersebut telah memanggil saya parkir ke bahu jalan berhampiran lampu isyarat susur ke tol Port Dickson arah ke Kuala Lumpur.

"Dia lalu memarahi saya dengan perkataan kotor dan memukul saya sehingga telefon bimbit saya rosak. Tujuan saya buat laporan (adalah kerana) tidak puas hati dan mahu tindakan selanjutnya (diambil)," ujarnya.

Malah, pertelingkahan tersebut difahamkan turut mengakibatkan kecederaan kepada individu terbabit.

Bagaimanapun setakat berita ini ditulis, tiada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram