PENGGUNA lebuh raya boleh menggunakan kad kredit atau kad debit di Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) yang akan melaksanakan pengujian Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) di enam lorong bermula Khamis.
Bercakap pada sidang media selepas mengadakan lawatan memantau pengujian SPT di Plaza Tol Putrajaya pada Rabu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini selaras dengan inisiatif kementerian itu untuk melaksanakan sistem tersebut secara berperingkat di 12 lebuh raya terpilih.
"SPT membolehkan pengguna lebuh raya membayar menggunakan kad debit atau kad kredit sekali gus memberikan alternatif baharu dan kemudahan kepada pengguna dalam proses pembayaran tol selain kaedah sedia ada seperti Touch n’ Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID)," katanya.
Beliau berkata, SPT akan dilaksana sepenuhnya di Lebuhraya MEX, Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Terowong SMART, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP), Lebuhraya Besraya, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).
Katanya, pelaksanaan sepenuhnya SPT di 12 lebuh raya terbabit merangkumi 31 plaza tol dan 81 lorong.
Nanta berkata, Maju Expressway Sdn Bhd (MESB), syarikat konsesi Lebuhraya MEX, adalah antara yang terawal akan melaksanakan sistem SPT dan pengujian sistem itu sudah bermula pada Julai 2023 bagi memastikan kesediaan serta kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
"Pihak Kementerian Kerja Raya sentiasa dimaklumkan mengenai tahap kesediaan dan perkembangan pengujian yang kini dijalankan secara berperingkat oleh LLM bersama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya.
"Pelaksanaan SPT harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan," katanya.
Beliau turut menasihati pengguna lebuh raya untuk memastikan baki kad debit dan kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol selain perlu menyentuh kad tempat yang ditetapkan pada terminal SPT bagi memastikan pembayaran tol berjalan lancar. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram