[VIDEO] Aksi polis lepas 9 tembakan kejar suspek di Kepong gemparkan pengguna jalan raya


  • Tular
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Tangkap layar kejadian kejar-mengejar antara anggota polis dengan sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback dipercayai di Kepong pada Isnin.

POLIS giat memburu seorang individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian kejar-mengejar dan tembak dua lelaki di Jalan Kepong, Kuala Lumpur, pada pagi Isnin.

Lelaki yang dikenali sebagai Ganeshan Olakanathan, 40, disyaki dapat membantu siasatan dalam menjejaki dua suspek yang berjaya melarikan diri.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan, kejadian yang berlaku sekitar 7.45 pagi itu melibatkan kawasan Pintasan Segambut melalui Taman Pusat Kepong sehingga Laman Rimbunan, Jalan Kepong, Kuala Lumpur dengan jarak kira-kira 2 kilometer.

Jelas beliau, semasa membuat rondaan, anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) terserempak dengan kereta jenis Proton Wira dalam keadaan mencurigakan.

“Polis cuba untuk menahan namun kereta tersebut bertindak melarikan diri sebelum melanggar kenderaan orang awam yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

“Suspek kemudiannya bertindak mengundurkan kereta dan melanggar anggota URB sehingga menyebabkan kecederaan.

“Bagi menjaga keselamatan diri, kedua-dua anggota URB melepaskan sebanyak sembilan das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek sehingga terbabas di tepi jalan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.

Ujar Mohd Shuhaily, kedua-dua suspek yang sudah dikenal pasti identiti berjaya melarikan diri ke arah kawasan perumahan.

Tambahnya lagi, hasil siasatan mendapati kenderaan itu milik seorang wanita yang meminjamkan keretanya kepada seorang lelaki.

“Tiada barang yang berkaitan dengan jenayah ditemui dalam kereta tersebut tapi terdapat besi buruk yang disyaki merupakan hasil curi.

“Kita tidak tahu lagi sama ada Ganeshan merupakan suspek atau tidak sebab keputusan forensik belum dapat lagi. Tetapi lelaki yang diburu ini mempunyai 11 rekod lampau jenayah dan dadah," katanya.

Beliau memberitahu, beberapa kenderaan milik pengguna jalan raya lain mengalami kerosakan akibat dilanggar oleh kereta suspek namun setakat ini, tiada aduan yang diterima berkaitan kerosakan akibat tembakan yang dilepaskan.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 307 / 353 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, tular satu video memaparkan kejadian kejar-mengejar antara beberapa anggota polis dengan sebuah kenderaan jenis Proton Wira Aeroback dipercayai berlaku di Kepong.

Suspek yang memandu kereta berwarna hijau itu dilihat memecut laju di laluan yang sesak selepas dikejar dari belakang oleh anggota terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram