[VIDEO] Punca masih misteri, pemilik bengkel maut ditembak di Machang


  • Tular
  • Ahad, 17 Sep 2023

Tangkap layar video tular memaparkan seorang lelaki maut dalam keretanya selepas ditembak individu tidak dikenali di Machang, Kelantan pada Ahad.

TULAR satu video dan gambar memaparkan mayat seorang lelaki berlumuran darah di bahagian pemandu kenderaan pacuan empat roda di Kampung Hutan Kuin dekat Machang, Kelantan pada petang Ahad.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan oleh orang awam, lelaki berkenaan maut selepas terkena beberapa das tembakan.

"Kejadian tembak di Machang, pelaku dua orang menaiki kenderaan lain serta melepaskan beberapa tembakan," kata individu berkenaan menerusi perkongsian audio.

Difahamkan, video berdurasi 10 saat itu dirakam oleh orang awam yang berada di tempat kejadian.

Dalam video tersebut kelihatan Mitsubishi Triton yang dipandu mangsa parkir di hadapan sebuah tanah lapang di hadapan kedai.

Kejadian itu juga menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya di kawasan tersebut.

Menurut laporan Bernama, mangsa merupakan pemilik bengkel kereta dan ditembak mati dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Ahad.

Bapa saudara mangsa, Zuki Ibrahim, 38, berkata beliau dimaklumkan mengenai kejadian daripada isteri mangsa kira-kira 6 petang.

"Ketika mendapat panggilan tersebut (daripada isteri mangsa), saya dalam perjalanan pulang dari Kuala Lumpur.

"Saya terus ke Hospital Machang, namun dimaklumkan mayat anak saudara saya masih berada di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Zuki berkata kali terakhir beliau bertemu anak saudaranya yang berusia 37 tahun itu kira-kira sebulan lepas.

"Saya dimaklumkan anak saudara yang tinggal di Pasir Puteh datang ke Machang untuk membeli alat ganti kenderaan untuk bengkelnya,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati polis sedang menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan tiada kenyataan berhubung kes itu dikeluarkan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram