Penunggang motosikal maut terperosok bawah MPV di Kuantan


  • 112
  • Khamis, 21 Sep 2023

Keadaan motosikal dan MPV yang terlibat dalam kemalangan di Kuantan pada Khamis. — JBPM Pahang

SEORANG penunggang motosikal maut selepas terperosok di bawah sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan, Pahang pada Khamis.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.59 pagi dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu MPV tersebut selamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria dilaporkan berkata, lapan anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

Menurutnya, anggota yang tiba di lokasi mendapati kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan MPV jenis Toyota Avanza manakala penunggang terperosok di bawah kenderaan itu.

"Pihak bomba menggunakan beg udara untuk mengangkat MPV itu sebelum mayat mangsa dapat dikeluarkan.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram